KUALA LUMPUR: Bekas pegawai khas kepada seorang Ahli Parlimen dan seorang lagi individu yang ditahan reman kerana disyaki meminta dan menerima rasuah melibatkan pembekalan papan pintar interaktif dibebaskan dengan jaminan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Ahad lepas.
Menurut sumber, setakat ini SPRM sudah merakam keterangan 18 saksi bagi membantu siasatan kes berkenaan.
Ahli Parlimen berkenaan mungkin dipanggil SPRM untuk dirakam keterangan namun tarikh dan masa masih belum ditentukan.
“Tidak menolak kemungkinan Yang Berhormat berkenaan akan dipanggil namun tarikh belum ditentukan,” menurut sumber itu ketika dihubungi di sini hari ini.
Media sebelum ini melaporkan bekas pegawai khas seorang Ahli Parlimen serta seorang lagi individu, kedua-duanya berusia 30-an direman bermula 6 hingga 9 Mac kerana disyaki meminta dan menerima rasuah kira-kira RM500,000 sebagai balasan bagi meluluskan dana Projek Mesra Rakyat.
Mereka dipercayai melakukan perbuatan itu tahun lepas sebagai balasan membantu meluluskan permohonan dana Projek Mesra Rakyat bernilai kira-kira RM1.5 juta membabitkan pembekalan papan pintar interaktif atau Interactive Smart Board kepada beberapa sekolah di sekitar Kuala Lumpur.