Pengamal undang-undang ditahan disyaki bantu sindiket daftar kelahiran

KUALA LUMPUR: Seorang pengamal undang-undang wanita yang ditahan sebelum ini berhubung kegiatan rasuah berkaitan pendaftaran lewat kelahiran disyaki berperanan memproses dokumen bagi permohonan sijil kelahiran selepas menerima bayaran daripada pemohon.

Menurut sumber, pemohon akan membayar sejumlah wang sebelum pengamal undang-undang terbabit mula menguruskan dokumen berkaitan permohonan sijil kelahiran bayi.

“Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) telah merampas tujuh surat kelahiran serta satu kad rawatan bayi dalam serbuan tersebut.

“Setakat ini, tiada pembekuan akaun bank dilakukan, namun jumlah wang rasuah yang terlibat dianggarkan sebanyak RM49,000,” katanya.

Pada Rabu lepas, media melaporkan SPRM telah menahan 16 individu terdiri daripada seorang penjawat awam, seorang pengamal perubatan bergelar Datuk Seri, seorang pengamal undang-undang serta beberapa ejen dan pemohon daftar kelahiran.

Kesemua suspek berusia antara 20-an hingga 70-an ditahan antara pukul 11 pagi hingga 8 malam menerusi Op Outlander dan Op Birth yang dijalankan di sekitar Lembah Klang dan Johor pada Selasa lepas kerana disyaki menerima dan memberi rasuah, termasuk menyediakan serta mengemukakan dokumen pengesahan kelahiran palsu dari tahun 2013 hingga 2018 serta 2023 hingga 2025.

Seramai 12 individu telah direman antara empat hingga lima hari sehingga 16 Mac ini, manakala empat lagi individu, termasuk seorang pengamal perubatan bergelar Datuk Seri telah dilepaskan dengan jaminan SPRM atas faktor kesihatan selepas keterangan mereka selesai dirakam.

Semalam, Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Operasi) SPRM Datuk Seri Ahmad Khusairi Yahaya dilaporkan berkata bahawa bagi Op Outlander, suspek utama dalam siasatan tersebut ialah seorang penjawat awam yang disyaki melakukan perbuatan terbabit dengan membantu permohonan pendaftaran lewat kelahiran, iaitu bagi kelahiran yang melebihi tempoh 60 hari selepas kelahiran.

“Dipercayai pengamal perubatan bergelar Datuk Seri yang memiliki beberapa klinik dan pusat bersalin berperanan mengeluarkan dokumen pengesahan kelahiran palsu,“ katanya.

Selain itu, Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail pada sidang media semalam mendedahkan bahawa satu sindiket telah dikesan mengemukakan dokumen kelahiran palsu dan memperdaya Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) bagi mendapatkan sijil kelahiran sah untuk dijual di pasaran gelap.

Saifuddin Nasution berkata modus operandi sindiket itu melibatkan beberapa individu yang bertindak sebagai pemaklum kelahiran dengan mengemukakan dokumen kelahiran palsu yang direka untuk menyerupai pengesahan rasmi daripada fasiliti kesihatan swasta berdaftar.

Beliau berkata sijil kelahiran sah yang dikeluarkan oleh JPN itu kemudian dipercayai dijual kepada ibu bapa atau penjaga yang mempunyai anak jagaan tanpa pengenalan diri atau kewarganegaraan Malaysia.

Katanya sindiket terbabit dipercayai telah beroperasi selama lebih tiga tahun dan berjaya mendapatkan lebih 80 sijil kelahiran melalui modus operandi itu.

Ia juga disyaki mempunyai rangkaian dalam dan luar negara serta terbabit dalam aktiviti penyeludupan kanak-kanak dari luar negara.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *