Polis tahan 11 suspek pecah rumah di Kluang dan Tangkak

KLUANG: Polis menahan 11 lelaki yang disyaki terlibat dalam kegiatan pecah rumah dan curi barangan, dalam beberapa serbuan di Simpang Renggam, Kampung Gajah Kluang dan sekitar daerah Tangkak, Khamis lepas.

Ketua Polis Daerah Kluang ACP Bahrin Mohd Noh berkata semua suspek yang berumur 26 hingga 46 tahun itu ditahan dalam Ops Pintu dari 1.38 pagi hingga 9 malam.

Beliau berkata polis turut merampas beberapa barangan yang dipercayai hasil kegiatan pecah rumah dalam serbuan itu, antaranya tujuh unit komputer riba dan sebuah projektor.

“Turut dirampas sebuah peti tunai berwarna biru, satu beg berjenama berwarna coklat dan sebuah kereta Perodua Alza,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Bahrin berkata semakan mendapati tujuh daripada suspek mempunyai rekod lampau berkaitan jenayah serta dadah, dan kesemua mereka kini direman hingga 17 untuk disiasat mengikut Seksyen 457, Seksyen 448 dan Seksyen 380 Kanun Keseksaan.

Beliau berkata enam daripada mereka didapati positif dadah jenis Methamphetamine.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *