TASEK GELUGOR: Sebanyak 11,792 akaun pengguna di Jalan Kubang Menerong, di sini akan mengalami gangguan bekalan air berjadual selama 14 jam bermula Jumaat ini.
Perbadanan Bekalan Air Pulau Pinang (PBAPP) dalam kenyataan memaklumkan gangguan bekalan air itu disebabkan kerja-kerja pelencongan paip di Jalan Kubang Menerong, Tasek Gelugor bagi Tetuan Pavillion Everise Sdn Bhd.
“Gangguan selama 14 jam bermula 10 malam Jumaat hingga 12 tengah hari Sabtu,” menurut kenyataan itu di laman Facebook PBAPP hari ini.
Menurut PBAPP, kawasan terjejas ialah Taman Tasek Gelugor Utama, Persiaran Perindustrian Bertam Perdana, Taman Perda Indah, Lorong Gelugor Indah, Taman Sepadu, Sepanjang Jalan Pokok Machang, Jalan Desa Sena, Jalan Sepadu Jaya dan Sepanjang Jalan Kubang Menerong.
Turut terjejas Taman Saga, Jalan Sawi, Lorong Sawi,klinik Tasek Gelugor, Sekolah Menengah Kebangsaan Bakti, Sekolah Kebangsaan Tasek Gelugor, Lorong Chempedak, Bertam Putra, Lorong Seri Menderong, Taman Mekar Sari, Bandar Putra Bertam dan Bertam Eco Residence.
PBAPP meminta pengguna yang terlibat untuk menyimpan air mencukupi bagi kegunaan sepanjang tempoh gangguan.