PENDUDUK sekitar sebuah ladang ganja di Pattaya, Thailand baru-baru ini mengalami simptom khayal akibat menghirup asap setelah ladang tersebut mengalami kebakaran.
Menurut akhbar Thai Matichon, kebakaran pada hari Khamis (Januari 14) tersebut dikatakan dipercayai berpunca daripada litar pintas di tingkat dua bangunan komersial empat tingkat di mana pohon-pohon ganja itu ditanam.
Walaupun pelbagai jenis perkhidmatan kecemasan, termasuk polis tempatan, pegawai bantuan bencana dan penyelamat sukarela dikerah untuk mengawal kebakaran dan menyiasat lokasi kejadian, pihak bomba hanya berjaya mengawal kebakaran dalam tempoh masa 30 minit.
Mereka sempat bertindak pantas dengan trak air berjaya mengawal kebakaran dan mengelakkannya daripada merebak ke bangunan lain.
Akan tetapi kepulan asap hasil kebakaran pohon ganja terbukti mengkhayalkan setelah penduduk tempatan dan pelancong didapati ‘ketawa tidak henti’ selepas menghidunya.
Selain itu, segelintir daripada mereka turut mengalami pening dan simptom mata merah dipercayai akibat terdedah terlalu lama dengan asap kebakaran itu.
Walaubagaimanapun, keadaan sekitar didapati pulih beberapa jam selepas itu.
Pemilik ladang tersebut, Kanchana,40, menjelaskan kepada pihak media Thai bahawa perniagaannya telah mendapat permit secara sah untuk menanam pokok ganja.
Kanchana turut membuat spekulasi bahawa kebakaran bermula daripada litar pintas elektrik yang melibatkan panel lampu untuk loji penyiraman pokok sehingga mengakibatkan api merebak pantas.
Tambahnya, anggaran kerugian mencecah 200,000 baht (RM26,251).