TAPAH: Kerajaan negeri akan mengenal pasti lokasi-lokasi berisiko tinggi terjadi lubang benam atau sinkhole di seluruh Perak.
Menteri Besar Datuk Seri Saarani Mohamad berkata pihaknya turut memberi perhatian kepada 11 kawasan lubang benam di Perak seperti yang direkodkan Jabatan Mineral dan Geosains (JMG) bagi tempoh 2019 hingga 2024.
Saarani berkata perkara itu akan dibawa ke Majlis Mesyuarat Kerajaan (MMK) Negeri Perak untuk dibincangkan bersama agensi serta jabatan berkaitan.
“Saya belum mendapat maklumat rasmi tentang bilangan dan juga lokasi spesifik (11 lokasi lubang benam), namun kita ambil maklum dan saya akan minta Exco berkaitan untuk bentangkan perkara ini dalam MMK esok.
“Kerajaan negeri juga akan minta agensi yang terlibat untuk bentangkan laporan mana-mana kawasan berisiko berlakunya lubang benam untuk kita lakukan langkah bagaimana mengatasi dan mengelakkan kejadian itu,“ katanya ketika ditemui pemberita di sini semalam (Mac 11).
Beliau berkata demikian pada majlis Program Penerapan Nilai-Nilai Murni Bersama Menteri Besar Perak dan Timbalan Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Dr Shamsul Anuar Nasarah di Penjara Tapah.
JMG merekodkan 24 kejadian lubang benam dalam tempoh lima tahun sejak 2019 hingga 2024, dengan Perak mencatatkan jumlah tertinggi iaitu 11 kes.
Kementerian Sumber Asli dan Kelestarian Alam (NRES) pada 6 Mac menerusi jawapan bertulis di laman sesawang Parlimen memaklumkan tiga kejadian direkodkan di Kuala Lumpur dan Pulau Pinang, dua di Kelantan dan masing-masing satu di Negeri Sembilan, Kedah, Selangor, Melaka serta Perlis.
Saarani berkata pihaknya turut menyarankan kepada orang ramai supaya membuat laporan segera jika melihat kejadian lubang benam yang berlaku demi keselamatan semua pihak.
“Jangan anggap ia (kejadian lubang benam) perkara biasa kerana ia melibatkan keselamatan semua pihak, biasanya melibatkan aliran air bawah tanah, apatah lagi sekarang keadaan cuaca yang tidak menentu,“ katanya.